RANAU: Suasana penuh kemeriahan menyelubungi Kampung Lobou Baru apabila sambutan Hari Raya Riang Ria peringkat kampung itu diraikan dengan meriah pada 4 April lalu.
Majlis yang berlangsung di balai raya kampung itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam bersama isteri, Datin Seri Linda Ewit, sekali gus menunjukkan keakraban pemimpin bersama masyarakat setempat.


Sejak 1 Syawal, Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) tidak henti-henti menerima jemputan rumah terbuka dari penduduk sekitar DUN Kundasang.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau mengucapkan terima kasih atas sambutan hangat dan sokongan yang diterima sepanjang kunjungan.
“Sambutan Hari Raya tahun ini amat meriah dan saya gembira dapat meraikannya bersama masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” katanya sambil menyatakan bahawa kepelbagaian budaya dan perayaan seperti Krismas, Kaamatan dan Aidilfitri adalah cerminan keharmonian Sabah.
Majlis turut dihadiri pegawai-pegawai dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang, termasuk Setiausaha Sulit dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat yang bersama-sama memeriahkan suasana.
Kehadiran mereka turut mencerminkan sokongan berterusan kepada inisiatif memperkukuh hubungan akar umbi.
Selain menghadiri rumah terbuka, beliau turut berkesempatan menziarahi seorang warga emas yang terlantar sakit di Kampung Naradau.
Kunjungan mesra itu diteruskan ke beberapa kampung lain seperti Semuruh, Pinausuk dan Mesilou, menjadikan sambutan Aidilfitri kali ini bukan sekadar perayaan, tetapi juga manifestasi kepedulian terhadap rakyat.