Kota Kinabalu : Kejadian penemuan mayat lelaki yang dilaporkan ditemui tergantung pada dahan sebatang pokok di kawasan lereng bukit disahkan berlaku di luar sempadan kawasan kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Perkara itu dinyatakan UMS dalam satu kenyataan di sini berhubung sebuah laporan berita yang disiarkan media tempatan kelmarin.
Menurut UMS, kejadian itu juga tidak melibatkan mana-mana pelajar atau kakitangan universiti berkenaan.
“UMS telah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak UMS menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan,” menurut kenyataan itu lagi.
Semalam, seorang lelaki ditemui tergantung pada dahan sebatang pokok di kawasan lereng bukit, menghala ke Kampung Kibagu, di sini.
Mayat lelaki yang berusia lingkungan 20 tahun itu ditemui pada jam 1.20 tengah hari dalam keadaan tergantung dengan tali. – SABAH MEDIA