Oleh FLORIETA DIET
PUTATAN: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM11.15 juta bagi melaksanakan pelbagai program dan projek landskap di seluruh Sabah bagi tahun 2025.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, peruntukan ini melibatkan dana Kerajaan Persekutuan dan Negeri, yang akan diagihkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah bagi tujuan pembangunan serta penaiktarafan infrastruktur hijau demi kesejahteraan rakyat.
“Peruntukan ini juga selaras dengan inisiatif perancangan pembangunan landskap negeri Sabah yang menekankan kepentingan kelestarian, keindahan persekitaran dan keseimbangan ekologi dalam pembangunan bandar dan luar bandar,” katanya ketika menyampaikan Amanat Khas Menteri sempena Program “I P.L.A.N.T.” di Taman Pasir Putih Fasa 1, di sini, pada Selasa (8 April).
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih.
Dr. Joachim menjelaskan bahawa Program “I P.L.A.N.T.” (Inisiatif Penghijauan Lestari, Aspirasi Negeri Taman Terindah) merupakan satu daripada langkah kementerian untuk memperkasa kelestarian landskap negeri Sabah melalui kolaborasi erat bersama PBT. Program ini bukan sekadar simbolik penanaman pokok, tetapi merupakan agenda strategik yang menyumbang kepada sasaran jangka panjang pembangunan mampan dan ekonomi hijau.
“Setakat Disember 2024, sebanyak 331,151 pokok telah ditanam di bawah program ini, namun angka itu masih jauh dari sasaran 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033, yang diumumkan sejak pelancarannya pada tahun 2020.
“Angka ini menunjukkan masih banyak lagi perlu dilakukan, dan saya menyeru semua PBT untuk terus mempergiatkan kempen penghijauan serta melaksanakan sendiri inisiatif penanaman pokok di kawasan masing-masing,” katanya.
Tambahnya, selain penanaman pokok, kementerian juga giat menganjurkan pelbagai program kesedaran dan pendidikan seperti Festival I-HIJAU KKTP, Bengkel Resolusi Hijau, serta jelajah bersama PBT ke pelbagai daerah untuk mempromosikan amalan hijau di peringkat akar umbi.
Kementerian turut memperkenalkan program komuniti seperti Kebun Komuniti dan Rakan Lestari, sebagai usaha untuk menggalakkan penglibatan masyarakat secara langsung dalam menjaga dan memelihara kelestarian persekitaran.
Beliau juga menekankan kepentingan penerapan elemen kejiranan hijau dalam reka bentuk pembangunan perumahan dan bandar, termasuklah penggunaan tenaga boleh diperbaharui, bahan binaan mampan dan penyediaan ruang hijau awam.
Katanya lagi, kementerian turut bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pelbagai program seperti Agenda Komuniti Lestari, projek Low Carbon Schools dan pelaksanaan SDG Roadmap dan Voluntary Local Review (VLR) di lima PBT terpilih di Sabah.