HomeUtamaSerangan politik terhadap Hajiji, bukan lemah tapi semakin kukuh kedudukannya di mata...

Serangan politik terhadap Hajiji, bukan lemah tapi semakin kukuh kedudukannya di mata rakyat – Aksyah

Read Time:3 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Serangan bertubi-tubi daripada pemimpin pembangkang dan golongan ‘haters’ terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dilihat sebagai usaha sia-sia apabila ianya dilihat semakin mengukuhkan lagi kedudukan beliau di mata rakyat.

Mantan Timbalan Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)/Perikatan Nasional (PN) Sabah, Aksyah Nasrah menyifatkan tindakan pembangkang yang tidak henti-henti melemparkan tuduhan kepada Hajiji ibarat ‘boomerang’ yang akhirnya kembali memakan diri mereka sendiri.

“Bermula dari Ramadan hingga masuk Syawal, saya perhatikan jadual YAB DSP Hajiji Noor amat padat dengan aktiviti rasmi dan program kebajikan bersama rakyat. Namun dalam kesibukan beliau bekerja, ada pula yang sibuk mencari salah dan menyebar naratif negatif. Ini sangat menyedihkan kerana bulan-bulan ini sepatutnya menjadi medan atau gedung untuk membentuk keperibadian kita yang syumul, kamil dan membugarkan tali ukhuwah sesama kita,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Aksyah mendakwa, serangan terhadap Hajiji termasuk memperlekehkan kebolehannya berbahasa Inggeris mencerminkan kebudak-budakan pihak lawan politik yang cuba menjatuhkan reputasi beliau melalui perkara remeh.

“Setakat ini, tiada satu pun pemimpin luar negara yang datang ke Sabah mengadu tidak faham cara komunikasi beliau dalam Bahasa Inggeris. Malah, ramai pemimpin negara maju pun perlu gunakan penterjemah. Tapi DSP Hajiji tidak pun perlukan bantuan begitu, dan semuanya berjalan baik. Ini menunjukkan pembangkang semakin terdesak sehingga sanggup menjadikan hal-hal kecil sebagai senjata politik,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Aksyah turut membidas dakwaan yang mengaitkan kelulusan lesen eksplorasi kepada syarikat Lincah Hebat Utama Sdn Bhd (LHUSB) dengan tokoh politik dalam GRS. Tuduhan yang dibuat oleh seorang Pengarah Komunikasi dan Strategi UMNO itu disifatkannya sebagai cubaan murahan menjatuhkan kredibiliti Hajiji tanpa fakta yang kukuh.

“Permohonan syarikat ini telah dibuat sejak tahun 2019 lagi sewaktu era pentadbiran Warisan. Proses penilaian juga dilakukan secara telus melalui Jawatankuasa Teknikal sebelum dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah. Semua keputusan dibuat secara kolektif, bukan atas keputusan peribadi Ketua Menteri. Malah, tiada dana awam digunakan dalam projek ini dan keluasan kawasan yang diluluskan juga telah dikurangkan,” katanya.

Tambah beliau, rakyat seharusnya melihat ketelusan yang ditunjukkan oleh Hajiji dalam menangani isu ini secara profesional dan berasaskan prinsip tadbir urus yang baik, bukan membuat spekulasi tidak berasas yang hanya mencetuskan kekeliruan.

Aksyah turut mengulas isu pelantikan Datuk Ar. James Wong sebagai General Group Manager (GGM) SEDCO yang sebelum ini dibangkitkan oleh sesetengah pihak kerana beliau bukan Bumiputera. Jelasnya, tiada mana-mana peruntukan undang-undang yang menyatakan jawatan tersebut eksklusif untuk Bumiputera Sabah.

“Tujuan utama SEDCO ialah untuk meningkatkan sosio-ekonomi Bumiputera Sabah, bukan menjadikan jawatan tertentu sebagai hak mutlak mana-mana kaum. Apa yang lebih penting adalah merit dan kebolehan untuk mengurus institusi itu. Datuk Ar. James Wong ialah anak jati Sabah dan beliau punya latar belakang korporat yang kukuh untuk mengangkat prestasi SEDCO,” katanya.

Mengulas lanjut, Aksyah menyifatkan bahawa pembangkang tidak mempunyai agenda yang jelas dan hanya gemar memainkan isu-isu sensasi demi meraih perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17. Katanya, rakyat harus berhati-hati agar tidak tersilap memberikan mandat kepada pihak yang hanya pandai mencetuskan persepsi tanpa penyelesaian.

“Saya khuatir jika mereka menang dengan modal fitnah dan persepsi, kita akan lihat kerosakan besar dalam pentadbiran Sabah. Isu-isu asas seperti Nota Bidai dan surat makluman pun dianggap sebagai kelulusan mutlak. Ini menunjukkan betapa ceteknya pemahaman mereka terhadap prosedur pentadbiran. Malangnya, rakyat yang tidak biasa dengan selok-belok pentadbiran mungkin akan termakan dengan propaganda ini,” katanya.

Menurut Aksyah lagi, berbanding pembangkang yang hanya pandai bersuara, Hajiji dan pasukan GRS pula telah membuktikan kemampuan dengan membawa agenda pembangunan melalui hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kini mula dinikmati oleh rakyat.

“Inisiatif seperti Rumah Sejahtera SMJ, bantuan RM300 sebulan kepada ketua isi rumah dan banyak lagi projek kebajikan sedang berjalan lancar. Ini semua hasil dari pengalaman dan kesungguhan Hajiji yang bukan lahir di kerusi empuk kerajaan, tapi naik secara bertahap dengan memahami denyut nadi rakyat,” katanya.

Tambah beliau, pembentukan GRS sebagai gabungan politik tempatan yang berteraskan rakyat Sabah menjadi bukti bagaimana Hajiji mengangkat suara dan maruah negeri agar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kuasa politik pusat.

“Buat pertama kalinya Sabah benar-benar ada suara sendiri. Kita lihat juga bagaimana perjuangan MA63 mula menampakkan hasil. Kalau ini yang rakyat Sabah dambakan selama ini, maka tidak ada sebab untuk menolak kepimpinan beliau,” kata Aksyah.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru seluruh rakyat Sabah agar menapis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap Ketua Menteri dan GRS, kerana menurutnya setiap kali serangan dibuat, hasilnya hanya memperkukuhkan lagi sokongan kepada mereka.

“Percayalah, pembangkang hari ini tidak mampu pimpin negeri ini. Dibimbangi, ibarat tikus membaiki labu. Jika berlaku demikian, bermakna Sabah dan rakyatnya ibarat dipatuk dua kali ular yang sama. Rosak negeri kita nanti,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Hak pekerja Sabah lebih terpelihara di bawah SLAC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular