Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Dua lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan memotong kabel milik Telekom Malaysia Bhd (TM) sepanjang 50 inci.
Majistret Marilyn Kelvin turut memerintahkan agar kedua-dua tertuduh, Nasir Basir dan Mukmin Masit, masing-masing berusia 32 tahun, dirujuk kepada Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Kesalahan itu dilakukan pada 23 Mac lalu kira-kira jam 4 pagi di tepi jalan Saga, Kampung Likas.
Kedua-dua tertuduh ditahan oleh pasukan serbuan ketika sedang memotong kabel bawah tanah di lokasi kejadian. Mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri apabila diminta oleh pihak berkuasa.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama yang memperuntukkan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam kes berasingan, seoarang wanita didenda RM1,300 atau gagal bayar satu bulan penjara kerana bermain judi atas talian menggunakan telefon bimbit di tempat awam.
Suriani Raji mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada 1 Mac jam lebih kurang jam 4.20 petang, bertempat di dalam Premis Dobi Coin Laundry Servis di Taman Putera Jaya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu serbuan selepas hasil pemerhatian dan pemantauan pihak berkuasa ke atas premis tersebut. Pemeriksaan terhadap peralatan yang dirampas oleh pakar analisis yang dilantik mendapati ia positif digunakan untuk kegiatan perjudian di bawah akta berkenaan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Yusdi Basri, mengendalikan pendakwaan bagi kedua-dua kes.