Kota Kinabalu : Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman mahu Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi mempergiatkan lagi sasaran ketibaan sebanyak 3.5 juta pelancong ke Sabah tahun ni.
Katanya, ia termasuklah mempromosikan produk pelancongan negeri serta menganjurkan acara dan aktiviti pelancongan yang signifikan sebagai menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, kerjasama dengan syarikat penerbangan juga akan diperkukuh melalui peningkatan promosi dan pengembangan laluan penerbangan langsung ke Sabah.
“Selain daripada itu, beberapa langkah penting perlu diambil, termasuk membangunkan dan menambah baik infrastruktur pengangkutan ke destinasi pelancongan.
“Aspek kebersihan, seperti di kawasan pantai dan tandas awam, juga perlu diberi perhatian serius oleh Pihak Berkuasa Tempatan, bagi memastikan keselesaan para pelancong.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia kerana meluluskan peruntukan berjumlah RM572.3 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau.
“Penaiktarafan kedua-dua lapangan terbang ini dijangka akan dapat menampung peningkatan jumlah ketibaan pelancong ke Sabah,” katanya.
Tun Musa berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan sempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di DUN Sabah di sini semalam.
Ia adalah ucapan sulung bekas Ketua Menteri Sabah Ke-14 itu selaku Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah selepas dilantik ke jawatan berkenaan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Tun Musa berkata, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan hala tuju bagi sektor pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) iaitu untuk membangunkan produk pelancongan yang mampan seiring kelestarian alam semula jadi.
“Pada tahun ini Kerajaan Negeri akan menyenaraikan Taman Tun Mustapha dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) Greenlist untuk diiktiraf sebagai kawasan pelestarian alam yang memenuhi standard tinggi untuk pemeliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber semula jadi yang mampan,” katanya. – SABAH MEDIA