Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 36 tahun yang didakwa merogol anak saudaranya berumur 13 tahun akan dibicarakan pada 21 hingga 23 Oktober ini di Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menetapkan tarikh perbicaraan itu selepas tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalah ketika prosiding berlangsung hari ini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut sekitar bulan Januari 2024, kira-kira jam 11.30 malam, di dalam sebuah lori di daerah Tuaran.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Haja Mohaideen.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam akan terus ditahan sementara menunggu kes selesai.