KIMANIS: Taman Agro-Perindustrian Sabah (SAIP) di sini, kini bersedia menjadi pemangkin utama kepada pembangunan usahawan tempatan dalam bidang agro-industri dan bioteknologi menerusi pengurusan baharu di bawah Sabah Economic Development Corporation (SEDCO).
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) merangkap Pengerusi SAIP, Datuk Phoong Jin Zhe, telah mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke SAIP bersama Lembaga Pengarah SAIP dan Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEDCO. Rombongan itu disambut oleh Pengurus Besar SAIP, Annef Osyairi Osman.
SAIP kini diurus secara rasmi oleh SEDCO setelah mengambil alih daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) menerusi perjanjian tiga pihak yang dimeterai pada Disember 2023 bersama Institut Kajian Pembangunan (IDS). Operasi di bawah SAIP Sdn Bhd telah bermula pada 1 Januari 2025.
Menurut Annef, sejak permulaan operasi, SAIP menerima sambutan positif daripada pelbagai syarikat dan pihak industri yang berminat untuk meneroka potensi taman ini.
Phoong berkata, SAIP kini diperkenalkan semula sebagai Sabah Agro-Industrial Park, menggantikan nama asal Sabah Agro-Industrial Precinct, dengan harapan taman ini menjadi pusat dinamik pembangunan bakat, inovasi, serta pengeluaran bernilai tinggi.
“SAIP akan menjadi pusat inkubasi untuk memupuk usahawan tempatan dalam agro-industri dan bioteknologi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kein Peng menyifatkan SAIP sebagai pemangkin penting kepada kemajuan pertanian Sabah, serta membuka ruang kepada petani, usahawan dan industri untuk berkembang.
“Harapan kami adalah agar melalui pelaburan berterusan oleh SEDCO, SAIP Sdn Bhd mampu membuka lebih banyak peluang dan meneroka potensi dalam bidang agro-bioteknologi,” katanya.
Tambah beliau, SAIP juga sedang dalam perbincangan dengan pelabur antarabangsa untuk menjadikan taman ini sebagai fasiliti pembuatan peralatan perubatan, bukti keyakinan tinggi terhadap potensi kawasan ini.
Memandang ke hadapan, SAIP berhasrat menjadi model pembangunan agro-industri berteraskan teknologi, penyelidikan dan kelestarian alam, bukan sahaja untuk manfaat Sabah, tetapi juga dalam menyumbang kepada keselamatan makanan global.
Dengan infrastruktur lengkap dan lokasi strategik berhampiran Lebuhraya Pan Borneo dan Pekan Benoni, SAIP mengalu-alukan penyertaan pemain industri, sektor swasta serta usahawan tempatan untuk membangunkan produk dan jenama mereka di taman ini.
Sebarang pertanyaan atau permohonan penyertaan boleh diajukan kepada Pengurus Kanan SAIP Sdn Bhd, Mariyam Gambur di talian 016-8473347 atau Hamiza Ismail di 013-8703483.