KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Bahagian Darau menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua Menteri Sabah susulan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mengesahkan bahawa Datuk Seri Hajiji Noor tidak terlibat dalam sebarang dakwaan berkaitan siasatan lesen perlombongan baru-baru ini.
Ketua Bahagian Darau merangkap Pengerusi Biro Ekonomi STAR Sabah, Datuk Iskandar Datuk Abdul Malik menyifatkan pengesahan SPRM itu sebagai bukti jelas terhadap integriti dan kewibawaan Ketua Menteri dalam menerajui pentadbiran negeri.
“Ini menunjukkan komitmen beliau terhadap pembangunan ekonomi yang mampan, tadbir urus yang telus serta kemajuan inklusif untuk seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau turut menyeru agar semua parti komponen berdiri teguh bersama kepimpinan YAB Ketua Menteri dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memastikan agenda pembangunan rakyat tidak terganggu oleh tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.
“Tuduhan ini hanyalah cubaan untuk memesongkan tumpuan kita daripada misi utama, iaitu terus berkhidmat kepada rakyat dan memacu pertumbuhan negeri,” katanya.
Menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang semakin hampir, STAR Darau turut mengingatkan seluruh jentera parti, pemimpin akar umbi dan para penyokong supaya memanfaatkan momentum ini sepenuhnya demi kestabilan dan masa depan Sabah.
Katanya lagi, rakyat Sabah memerlukan pemimpin yang menunaikan janji dan bukan sekadar menabur janji kosong, justeru sokongan padu terhadap kepimpinan sedia ada perlu diperkukuh.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat untuk bersatu di bawah kepimpinan yang mencerminkan nilai dan aspirasi bersama demi memastikan kemakmuran negeri dapat dikekalkan dan terus diperkasakan.