Kota Kinabalu: Situasi banjir di Sabah terus mencatat peningkatan apabila seramai 883 orang mangsa melibatkan 257 keluarga dipindahkan ke 10 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu meningkat berbanding 875 orang melibatkan 254 keluarga yang direkodkan pada jam 8 pagi hari ini.

Daripada jumlah yang direkodkan, Nabawan kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan merekod seramai 467 orang mangsa melibatkan 119 keluarga yang dipindahkan ke enam buah PPS di daerah berkenaan.
Antara PPS yang diaktifkan adalah di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan; Dewan Kampung Bahagia; Balai Budaya Kabangawong; Balai Budaya Kamoung Sarikan; Balai Budaya Kampung Saupi dan SK Kampung Pandiwan.
Manakala di daerah Sook, seramai 232 orang mangsa masih kekal ditempatkan di dua PPS melibatkan 77 keluarga.
Antara PPS yang diaktifkan adalah Dewan Kampung Membulu dan Dewan SK Pekan Keningau II.
Sementara itu, daerah Beaufort merekodkan jumlah mangsa terjejas banjir seramai 108 orang melibatkan 40 keluarga dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon.
Daerah Keningau yang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir hari ini merekodkan seramai 76 orang mangsa melibatkan 21 keluarga.
Kesemua mangsa yang dipindahkan di Keningau telah ditempatkan di Dewan Koningau Majlis Daerah Keningau. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH