Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk membina lebih banyak perumahan kos rendah yang mampu milik untuk B40 di seluruh negeri Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II dan juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata dalam Rancangan Malaysia Ke Duabelas (RMKe12), Kerajaan Negeri melalui agensi pelaksananya Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sedang melaksanakan pembinaan perumahan kos rendah sebanyak 225 unit di lima lokasi strategik iaitu 50 unit di Kemabong Tenom, 50 unit di Sukau Kota Kinabatangan, 50 unit di Melalap Tenom, 25 unit di Beluran dan 50 unit di Pitas melalui biayaan sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri.
“Rumah ini akan dijual kepada golongan B40 yang berpendapatan rendah dengan harga RM47,000 seunit,” katanya ketika menjawab soalan, daripada ADUN dilantik Datuk Suhaimi Nasir yang bertanyakan apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi membina lebih banyak perumahan kos rendah yang mampu milik untuk B40 di seluruh negeri Sabah.
Beliau menjawab soalan berkenaan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-16.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri melalui LPPB juga telah merancang untuk membina lebih banyak lagi rumah kos rendah bagi golongan B40 ini di dalam Rancangan Malaysia Ke Tigabelas (RMKe13).
“Biayaan Kerajaan Negeri yang akan datang dan kini di peringkat penyemakan serta kelulusan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah,” katanya.