HomeUtamaRumah hangus dijilat api, jiran rayu bantuan buat mangsa

Rumah hangus dijilat api, jiran rayu bantuan buat mangsa

Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh FLORIETA DIET

TAMBUNAN: Sebuah rumah dua tingkat musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Moloson, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian menyayat hati itu turut tular di media sosial selepas seorang jiran mangsa dikenali sebagai Hector John berkongsi detik cemas tersebut menerusi Facebook miliknya.

Menurut hantaran tersebut, rumah berkenaan yang didiami pasangan Encik Jacob Supili dan Puan Nelly terbakar kira-kira jam 9.00 pagi. Bahagian tingkat atas kediaman itu yang menempatkan bilik tidur, dokumen penting, barangan elektrik dan pakaian hangus dijilat api.

“Selamat pagi… satu dugaan menimpa jiran kami. Rumah mereka terbakar… bahagian atas habis dijilat api,” tulisnya.

Katanya lagi, keluarga berkenaan kini terpaksa menumpang sementara di Mini Dewan Kampung Moloson kerana kediaman tidak lagi selamat diduduki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Penguasa Bomba Kanan II Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.20 pagi.

“Seramai sembilan anggota bersama tiga jentera dari BBP Tambunan bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai dan tiba pada jam 9.27 pagi.

“Kebakaran melibatkan rumah bersaiz 60×60 kaki persegi dan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.48 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 10.58 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan tiada mangsa cedera dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Turut membantu dalam operasi menyelamat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam pada itu, Hector turut mengambil inisiatif melancarkan derma kilat bagi membantu meringankan beban mangsa. Difahamkan, semua dokumen termasuk kad bank turut musnah dalam kebakaran, justeru sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun anak mangsa.

Maklumat Sumbangan:
Nama: Ricky Jacob
Bank: Alliance Bank
No Akaun: 101780021080533

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Ricky Nickholson di talian 011-3038 1336.

Hantaran tersebut menerima banyak reaksi dari netizen yang rata-rata tersentuh dengan kejadian itu dan memuji sikap prihatin jiran tetangga yang pantas bertindak menghulurkan bantuan.

RELATED ARTICLES
Utama

Alexander puji komitmen Sabah percepat projek Pan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular