HomeUtamaAgensi Pembangunan Wilayah dicadang diwujudkan di Sabah

Agensi Pembangunan Wilayah dicadang diwujudkan di Sabah

Read Time:1 Minute, 49 Second

Kota Kinabalu : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob mencadangkan agar Agensi Pembangunan Wilayah di Sabah diwujudkan bagi mempercepatkan rancangan pembangunan di sesebuah daerah.

Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, ketika ini pelaksanaan pembangunan di negeri ini masih bercelaru disebabkan faktor antaranya koordinasi antara jabatan, agensi kerajaan yang lambat dalam meluluskan rancangan pembangunan.

“Sebagai contoh permohonan tanah untuk dibangunkan sebagai sebuah Bandar Baharu di Sipitang di kawasan Marintaman yang sehingga kini tidak dapat direalisasikan disebabkan masalah koordinasi antara jabatan dalam membuat kelulusan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Ucapan Dasar Kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.

Dr Yusof berkata, rancangan bagi mewujudkan bandar baharu itu adalah bagi menampung pembangunan di Sipitang dari impak ekonomi di Taman Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Katanya, Pekan Sipitang ketika ini adalah sempit dan memerlukan bandar baharu dengan pertambahan penduduk apabila beberapa projek bermula di SOGIP dalam tempoh tiga tahun nanti.

“Permohonan pembangunan kawasan baru di tanah bawah Majlis Daerah tetapi ditolak ke Jabatan Tanah dan Ukur kemudian ke Jabatan Hasil Bumi dan sehingga ini belum lagi ada kata putus.

 “Perlu ada koordinasi antara jabatan dalam meluluskan rancangan pembangunan di daerah agar pelaksanaan dapat dipercepatkan,” katanya.

Beliau turut memberi contoh di Sarawak berhubung pelaksanaan pembangunan di sesebuah daerah dikoordinasi dengan baik dengan adanya Agensi Pembangunan Wilayah.

 Menurutnya, agensi pembangunan wilayah itu boleh membuat keputusan sendiri dalam meluluskan rancangan pembangunan di peringkat daerah tanpa merujuk kepada banyak pihak.

Dalam pada itu, Dr Yusof juga mahu pegawai-pegawai kerajaan khususnya berkaitan infrastruktur supaya kerap turun ke lapangan dan mengubah cara tindakan bagi memastikan masalah infrastruktur yang timbul ditangani dengan baik.

Sebagai contoh, katanya, masalah air disebabkan paip pecah perlu dibaiki dalam tempoh 24 jam tetapi banyak berlaku kerja pembaikan dibuat lebih daripada 24 jam.

“Masalah dan keluhan rakyat ini perlu ditangani dengan segera. Rakyat tidak marah tetapi tidak mahu masalah dihadapi berlanjutan,” katanya.

Menurutnya, bagi bekalan elektrik, penyelenggaran kabel-kabel elektrik yang ditutupi dahan-dahan pokok perlu diberi perhatian bagi mengelakan gangguan bekalan elektrik disesebuah kawasan.

Beliau berkata, ketika ini untuk kawasan di Sipitang, menerusi pemerhatiannya banyak kabel dan tiang elektrik ditutupi dahan pokok. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perlu pengurusan sampah yang lebih baik – Dr Joachim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular