Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah akan mengkaji keperluan bagi menubuhkan ‘Sabah Youth Policy Action Hub’.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, ini kerana pihaknya kini dalam rangka bagi mewujudkan rang undang-undang berkaitan belia di negeri ini.
“Mengenai cadangan untuk mengaktifkan semula Ahli Dewan Belia Sabah (DBS) dengan sidang tahunan yang tetap. Sukacita saya memaklumkan bahawa DBS masih aktif dan persidangan Dewan Belia Sabah akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Kementerian saya maklum mengenai keperluan dana untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti DBS. Ini adalah kerana pemberian dana kepada DBS adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan yang diperuntukkan kepada Kementerian saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ellron berkata, kementeriannya masih mencari tapak tanah yang sesuai berkeluasan lebih daripada 20 ekar di kawasan Papar untuk pembinaan kompleks sukan di daerah itu.
Katanya, ini kerana tapak tanah yang dicadangkan sebelum ini tidak sesuai dan pihaknya akan menyenaraikan pembinaan Kompleks Sukan Papar dalam projek Pembangunan Rancangan Malaysia akan datang setelah isu tapak diselesaikan.
Berhubung kemajuan kemajuan fizikal Kompleks Sukan Tongod, Ellron berkata, setakat hari ini kerja-kerja penyediaan lapisan asas trek dan kerja-kerja pemasangan trek sintetik telah mencapai 90 peratus.
“Punca-punca kelewatan pembinaan Kompleks Sukan Tongod adalah disebabkan tertangguh semasa COVID-19 dan melibatkan Perubahan Kerja (VO) disebabkan terdapat batu- batu besar semasa kerja-kerja meratakan kawasan tapak.
“Selain itu, hujan yang tidak menentu di kawasan projek menyebabkan kerja-kerja terganggu,” katanya.
Menurutnya, kontraktor telah banyak kali dipanggil dan diberi amaran supaya dapat menyiapkan pembinaan Kompleks Sukan Tongod mengikut jadual yang ditetapkan iaitu dalam tahun ini. – SABAH MEDIA