Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Kerajaan tiada perancangan untuk membuat penangguhan semakan semula yuran ke atas fi lesen di bawah Undang-Undang Kecil (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 ataupun melaksanakan kutipan fi lesen secara berfasa, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.
“Pendekatan ini diambil untuk keseragaman tindakan ke atas semua kelas hotel dan memudahkan perlaksanaan proses kutipan fi lesen oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
“Kerajaan Negeri percaya bahawa pengembalian kadar lesen ini tidaklah membebankan para pengusaha hotel jika dilihat dari nilai yang dikenakan kepada 174 pengusaha hotel Kelas 2 dan 3 berbanding peniaga-peniaga kecil yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Adun Tanjung Aru, Datuk Wong Hong Jun bertanya mengapa kerajaan menangguhkan semakan semula yuran lesen hotel di bawah Hotel & Lodging Houses By-Laws 1966 selama 6 hingga 8 bulan sedangkan hotel SME (Kelas 2 dan 3) sudah menghadapi tekanan kewangan semasa sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Beliau juga menjelaskan, para penjaja dikenakan bayaran lesen sebanyak RM3.10 sehari, manakala hotel-hotel hanya dikenakan kadar serendah RM1.30 hingga RM4.65 bergantung kepada kelas hotel tersebut.
“Kalau kita bandingkan, penjaja-penjaja di pasar malam bayar lebih tinggi. Sedangkan hotel-hotel, yang beroperasi untuk keuntungan besar, bayar jauh lebih rendah,” katanya.
Sebagai perbandingan, kadar lesen hotel di negeri lain seperti Pulau Pinang, hotel kelas 4 dan ke atas dikenakan bayaran RM5 dan ke atas, manakala hotel kelas rendah dikenakan sekitar RM3. Hal ini menunjukkan bahawa kadar yang dikenakan di Sabah lebih rendah berbanding negeri-negeri yang lebih maju dalam sektor pelancongan.
Tambahnya lagi, sebagai contoh, fi sebenar yang dikenakan untuk setiap bilik hotel yang dihuni hanyalah sekitar RM4.65 sebilik sehari untuk Kelas 1, RM2.65 sebilik sehari untuk Kelas 2 dan RM1.30 sebilik sehari untuk Kelas 3. Sekiranya bilik ini tidak dihuni, maka tiada bayaran fi yang dikenakan.
“Jika dibandingkan dengan penjaja di pasar malam atau pasar bangunan sekitar Bandar Raya Kota Kinabalu, mereka dikenakan caj sebanyak RM3 sehari setiap lot berbanding dengan fi lesen hotel Kelas 2 iaitu sekitar RM2.65 sebilik sehari ataupun lesen hotel Kelas 3 iaitu sekitar RM1.30 sebilik sehari sekiranya bilik tersebut dihuni. Secara relatifnya kadar fi lesen hotel ini masih pada paras yang rendah.
“DBKK perlu menguatkuasakan mana-mana perundangan atau peraturan sebagaimana yang telah termaktub dalam undang-undang, ini termasuk membuat kutipan fi lessen,” katanya.