HomeUtama7,000 peluang pekerjaan bakal terhasil di POIC Lahad Datu – Phoong

7,000 peluang pekerjaan bakal terhasil di POIC Lahad Datu – Phoong

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Kira-kira 7,000 peluang pekerjaan dijangka terhasil menerusi pelaksanaan pelbagai projek pelaburan di POIC Lahad Datu, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.

Beliau berkata, beberapa pelaburan telah dimeterai dan projek strategik lain sedang dalam perancangan, yang bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, khususnya dari kawasan Pantai Timur, tetapi turut merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Peluang pekerjaan ini adalah berdasarkan kepada pelaburan yang sedang dan akan dilaksanakan. Kita juga sedang memastikan bekalan utiliti utama seperti elektrik dan air berada pada tahap optimum,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang Datuk Seri Shafie Apdal Dewan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Mengulas isu bekalan air, Phoong menjelaskan bahawa kerajaan negeri kini menjalin kerjasama dengan penyedia air industri bagi membangunkan teknologi penyahgaraman, memanfaatkan lokasi strategik Lahad Datu yang berhampiran dengan laut.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan dua inisiatif utama yang dijangka menjamin kestabilan bekalan elektrik di kawasan POIC, iaitu menaik taraf talian penghantaran elektrik daripada 132kV kepada 275kV, serta pembinaan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System – BESS) berkapasiti 100 megawatt (MW) di Lahad Datu.

“Kita menjangkakan penghantaran tenaga dari Pantai Barat ke Pantai Timur akan meningkat daripada 200MW kepada 400MW. Ini bukan sahaja menjamin kestabilan tenaga, malah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sabah,” katanya.

Menjawab dakwaan bahawa angka 7,000 peluang pekerjaan itu tidak mencerminkan penglibatan rakyat tempatan, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri bersedia membentangkan data terperinci berkaitan kadar penglibatan penduduk setempat.

“Kita boleh tampilkan maklumat lengkap termasuk lokasi peluang pekerjaan dan peratusan penyertaan rakyat di kawasan sekitar. Ini bukan isu dan kita bersedia mendedahkan angka sebenar,” jelasnya.

Berhubung status pemilikan syarikat di POIC, Phoong berkata daripada keseluruhan 4,400 ekar tanah yang diperuntukkan, fasa pertama dan kedua telah digunakan sepenuhnya, manakala fasa ketiga sedang dirancang secara berperingkat.

Tambahnya, dua pelabur baharu telah memeterai perjanjian dalam tempoh setahun lalu, dan rundingan sedang dijalankan bersama beberapa pelabur berpotensi lain.

Menyentuh penyertaan anak jati Lahad Datu dalam pelaburan sedia ada, beliau memaklumkan bahawa pihak kementerian akan menyemak dan menyediakan laporan lanjut mengenai jumlah pelabur tempatan dari kawasan tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

Alexander puji komitmen Sabah percepat projek Pan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular