Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pengusaha yang didapati ‘mengalibabakan’ lesen perniagaan kepada warga asing.
Perkara itu ditegaskan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Sri Ruddy Awah, susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Jamil Datuk Hamzah (Warisan–Bugaya) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan–Senallang) berhubung isu lesen ‘Ali Baba’ khususnya di kawasan pelancongan seperti Semporna.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan mesti berpaksikan kepada bukti dan maklumat yang sahih.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau pengusaha yang didapati ‘mengalibabakan’ lesen perniagaan pelancongan kepada warga asing,” kata Ruddy ketika sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
Terdahulu, Jamil mengajukan soalan berhubung tindakan kerajaan negeri terhadap pengusaha pelancongan yang didakwa memindahkan lesen secara haram kepada warga China.
Menjawab perkara itu, Ruddy menjelaskan bahawa pejabat daerah tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan pelancongan kepada warga negara China, sebaliknya hanya diberikan kepada warganegara tempatan.
Jamil turut merujuk kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebelum ini yang mendakwa berlaku kebocoran maklumat sehingga menggagalkan satu operasi bersama terhadap agensi pelancongan haram yang dikendalikan oleh warga asing pada November lalu.
Bagaimanapun, menurut Ruddy, setakat ini tiada maklumat rasmi diterima mengenai dakwaan tersebut.
“Kementerian Pelancongan memaklumkan kemungkinan wujud kebocoran maklumat, namun hingga kini kami belum menerima maklumat rasmi. Sekiranya ada bukti, sila kemukakan. Kami tidak akan berdiam diri,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sebarang operasi penguatkuasaan haruslah dilaksanakan dengan matlamat yang jelas serta koordinasi yang baik antara agensi-agensi yang terlibat.
“Jika operasi mahu dijalankan, kita perlu jelas dengan tujuan, perancangan dan langkah pelaksanaannya. Buat masa ini, tiada keperluan mendesak untuk melancarkan operasi, namun perancangan dan persediaan awal amat penting,” jelasnya lagi.
Beliau juga mengalu-alukan kerjasama Jamil supaya menyalurkan maklumat lengkap dan tepat sekiranya terdapat bukti wujudnya penyalahgunaan lesen, bagi membolehkan siasatan menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil.
Sebagai respon kepada gesaan Mohd Shafie agar kerajaan bertindak lebih proaktif, Ruddy memberi jaminan bahawa beliau sendiri akan turun padang bersama Jamil untuk menyiasat isu tersebut secara langsung.
“Saya pastikan bahawa saya akan turun ke kawasan, bukan hanya bercakap di dalam Dewan Yang Mulia sahaja. Itulah janji saya kepada ADUN Bugaya,” katanya.