Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah akan menjalankan proses pemutihan dan siasatan secara menyeluruh terhadap dakwaan terdapat unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang disewakan kepada individu tidak layak.
Menterinya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata siasatan itu akan dilaksanakan secara telus susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum Gum, Arunarnsin Taib dan ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) di sini, hari ini.
Kedua-dua wakil rakyat tersebut menzahirkan kebimbangan berhubung keadilan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, namun masih belum mendapat peluang mendiami unit PPR. Terdapat dakwaan bahawa segelintir penghuni kini berada dalam kedudukan kewangan yang tidak lagi melayakkan mereka menetap di PPR, malah ada juga penghuni asal yang telah berpindah dan menyewakan unit berkenaan kepada pihak ketiga.
Mereka turut menyifatkan situasi ini sebagai tidak adil kepada rakyat yang masih menunggu penempatan. Selain itu, isu kekurangan kemudahan seperti tempat letak kenderaan juga turut dibangkitkan kerana menjejaskan keselesaan penduduk sedia ada.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan I, Datuk Isnin Aliasnih menjelaskan bahawa pihak kementerian melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa melakukan pemantauan berterusan terhadap semua projek PPR.
Menurut beliau, kerja-kerja pemutihan kini sedang giat dilaksanakan melibatkan kes-kes seperti penyewaan semula unit, penggunaan rumah transit yang tidak mengikut syarat serta tunggakan sewa melebihi tiga bulan.
Bagi PPR Taman Murni di Sandakan, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah menjalankan tindakan penguatkuasaan dan mengenal pasti lapan unit yang kosong. Sementara itu, di PPR Taman Batu Putih, pemantauan dilakukan dua kali pada tahun 2024 dan sekali pada 2025, dan tiada kekosongan unit direkodkan setakat ini.
Di PPR Taman Gum-Gum Jaya pula, enam unit telah dikosongkan hasil pemantauan dan tindakan penguatkuasaan, dan kini sedia untuk diisi oleh penghuni baharu yang layak.