Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang majikan didenda RM10,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menggaji warga asing tanpa dokumen sah, yang terbabit dalam kemalangan tular melibatkan 13 kenderaan bulan lalu.
Chee Nyit Leong, 58, mengaku bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain.
Tertuduh didapati telah mengambil bekerja Judin Sapal, 56, yang tidak mempunyai pas kerja yang sah, pada 2 Mac 2025 kira-kira jam 11.50 pagi di Pejabat Trafik IPD Penampang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 55(b)(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang yang diambil bekerja, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, semasa Judin berada di Pejabat Trafik Penampang untuk siasatan berhubung kemalangan tersebut, Judin yang merupakan warganegara Filipina telah menyatakan nama majikan tempatnya bekerja.
Pas kerja yang digunakan oleh Judin telah tamat tempoh dan dia telah tinggal serta bekerja di Malaysia tanpa kebenaran, selepas pas tersebut yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia kepada tertuduh, tamat tempoh pada 18 Ogos 2010.
Hasil siasatan lanjut mendapati, berdasarkan pengakuan Judin, beliau telah bekerja dengan tertuduh sejak tahun 2021 sehingga tarikh kejadian kemalangan, tanpa memiliki pas kerja yang sah di Malaysia.
Semasa rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Goldam Hamid, memohon hukuman denda yang rendah dan agar tiada hukuman penjara dikenakan, memandangkan tertuduh mempunyai masalah kesihatan, dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mengendalikan pendakwaan.
Chin telah membayar denda berkenaan.
Pada Selasa, Judin, seorang pekerja pembinaan, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM6,000, atau enam bulan penjara, atas kesalahan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan 13 buah kenderaan di hadapan SK Tansau, Kinarut.
Judin turut dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Khas Imigresen atas kesalahan tinggal melebihi tempoh di Sabah.
Mahkamah memerintahkan Judin menjalani hukuman penjara secara berasingan.
Judin gagal membayar denda bagi kesalahan trafik, bermakna beliau akan menjalani hukuman penjara selama dua tahun bagi kedua-dua kesalahan tersebut – trafik dan imigresen.
Setelah selesai menjalani hukuman penjara, Judin akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://www.facebook.com/photo?fbid=1062884462534669&set=a.459914889498299