Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited dalam menambah baik perkhidmatan komunikasi dan internet di negeri Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di negeri ini telah mencapai 94.40 peratus setakat 31 Januari lalu.
“Sebanyak 432 daripada 689 menara komunikasi baharu telah siap dinbina dan beroperasi menerusi pelaksanaan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA ) di negeri Sabah.
“Selain itu sebanyak 4,986 daripada 5,083 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf serta 275,605 daripada 311,759 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik.
“Kesemua 138 lokasi telah dapat menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit, Broadband Wireless Access (BWA). Baki inisiatif yang sedang dalam pelaksanaan dijangka akan siap secara berperingkat pada penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Arifin berkata, sebahagian kampung di Bongawan; Gum-Gum; Bugaya dan Bangi telahpun menerima liputan 4G melalui menara sedia ada yang berhampiran yang dibangunkan secara komersial oleh pemberi perkhidmatan.
Katanya, MCMC akan memantau kualiti liputan internet di kawasan- kawasan yang dinyatakan serta merancang melakukan audit di lokasi ini bagi menilai status sebenar liputan perkhidmatan.
“Sekiranya pemberi perkhidmatan gagal memenuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS), Arahan Suruhanjaya untuk penambahbaikan akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya.
“Pemberi perkhidmatan wajib melaksanakan penambahbaikan berdasarkan arahan tersebut,” katanya. – SABAH MEDIA