Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 melibatkan seramai 402,956 calon di seluruh negara akan diumumkan pada 24 April ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang akan menerima keputusan minggu hadapan.
“Alhamdulillah, tarikh keputusan (SPM) telah pun kita maklumkan iaitu 24 April, InsyaAllah minggu depan dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua yang akan mengambil keputusan.
“Mudah-mudahan keputusan ini akan menjadi pemangkin semangat untuk calon melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, InsyaAllah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Madani : Cakna Pendidikan Digital di Dewan Resital UMS di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM 2024 daripada sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi pada tarikh tersebut.
Manakala bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur.
“Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah berikut iaitu secara dalam talian melalui pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM 2024 bermula jam 10 pagi pada 24 April 2025 sehingga jam 6 petang pada 30 April 2025.
“Atau secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888. Sistem ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 24 April 2025 sehingga jam 6 petang pada 30 April 2025,” menurut kenyataan itu di sini. – SABAH MEDIA