KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Ekonomi telah bersetuju menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau pelaksanaan projek-projek yang diluluskan oleh kementerian itu di peringkat negeri dan daerah.
Penubuhan pasukan khas ini bertujuan meningkatkan ketelusan dan kecekapan pelaksanaan projek kerajaan, serta menangani isu ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa yang mungkin berlaku dalam pengurusan peruntukan awam.
Menurut kenyataan media SPRM hari ini, antara terma rujukan pasukan khas itu termasuk:
- Pertukaran maklumat antara Kementerian Ekonomi dan SPRM berhubung jumlah peruntukan yang diluluskan kepada kerajaan negeri dan daerah;
- Pelaksanaan pemeriksaan mengejut bagi tujuan siasatan terhadap kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan;
- Mengenal pasti kelemahan dalam Tatacara Pelaksanaan (SOP) sedia ada serta mencadangkan penambahbaikan bagi memperkukuh tadbir urus projek termasuk aspek penyaluran bajet, pemantauan dan pelaksanaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyambut baik kerjasama strategik ini dan mengalu-alukan kesungguhan serta keterbukaan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam memastikan ketelusan pelaksanaan projek-projek di bawah kementeriannya.
“Keterbukaan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh YB Menteri amatlah penting dan wajar dijadikan contoh oleh kementerian serta agensi-agensi lain,” katanya.