Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membuka semula penghadang jalan (bollard) yang dipasang di jalan susur di Lorong Seroja 1 di sini bermula esok.
DBKK dalam kenyataan memaklumkan, pembukaan semula jalan itu adalah susulan aduan dan maklum balas yang diterima daripada orang awam.
Berikutan itu, DBKK akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan bagi mengkaji dan meneliti penyelesaian terbaik penutupan jalan susur di Lorong Seroja 1.
“Keputusan ini dicapai secara sebulat suara menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Trafik Perbincangan Isu Pemasangan Penghadang di Simpang Jalan Seroja 1 ke Lorong Bunga Melur, Taman Fortuna yang diadakan pada 18 April 2025.
“Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Bandaraya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Trafik.

“Sehubungan itu, DBKK akan mengadakan lawatan teknikal bersama agensi JKR dan PDRM ke lokasi berkenaan dalam masa terdekat ini.
“Lawatan ini bertujuan untuk mengkaji dengan lebih mendalam berkaitan aspek keselamatan, kelancaran trafik dan laluan alternatif yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Justeru itu, DBKK turut memaklumkan, pengguna jalan raya di sekitar kawasan ini dinasihatkan untuk sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan memandu secara berhemat ketika menggunakan jalan susur berkenaan.
Tambah kenyataan itu lagi, ia adalah bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
DBKK menyeru kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang komen atau kenyataan berbaur negatif berkaitan isu ini sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan penduduk setempat.
Terdahulu, DBKK telah menutup jalan susur Lorong Seroja 1 dengan memasang penghadang jalan bagi mengelakkan ia digunakan sebagai jalan pintas.
Tindakan ini diambil selepas beberapa aduan diterima daripada orang awam mengenai kejadian nyaris kemalangan yang berlaku di jalan susur berkenaan.
Tambahan lagi, secara teknikalnya serta mengikut rekod pelan yang ada, tiada jalan keluar yang dibenarkan di kawasan berkenaan. – SABAH MEDIA