Kota Kinabalu : Kapal Maritim (KM) Banggi milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kembali beroperasi selepas menjalani proses pembaikan dan naik taraf menyeluruh selama lebih dua tahun.
Majlis penyerahan rasmi KM Banggi daripada Shin Yang Shipyard Sdn. Bhd. kepada Maritim Malaysia berlangsung penuh simbolik di Sabah Ports, di sini pada Selasa lalu.
Majlis telah disempurnakan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Mohd Rosli berkata, kapal itu menjalani kerja-kerja ‘repowering’ jentera utama dan ‘refit’ struktur serta sistem teknikal selama 26 bulan di limbungan kapal Shin Yang, Miri, Sarawak.
Katanya, proses tersebut merangkumi penggantian enjin utama, pemulihan sistem elektrik dan elektronik, serta pemeriksaan menyeluruh struktur kapal.
“Kembalinya KM Banggi ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan lonjakan strategik dalam usaha memperkukuh rondaan dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia di perairan Sabah, Sarawak dan Labuan yang berdepan pelbagai cabaran keselamatan maritim,” katanya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan sesi menandatangani dokumen penyerahan antara Shin Yang Shipyard dan Maritim Malaysia, serta pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan.
Dalam sesi lawatan itu, Mohd Rosli turut menyampaikan amanat khas kepada anak-anak kapal melalui sistem komunikasi radio.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Pengarah Eksekutif Shin Yang Shipyard, Mr Vincent Ling Lu Yew. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA