Oleh J.EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Insiden paparan imej Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit pada muka depan sebuah akhbar tempatan bulan lalu menimbulkan kekecewaan mendalam dalam kalangan rakyat yang cintakan tanah air.
Seorang warga Sabah yang berada di Melbourne, Australia, Nia Hamri, menyifatkan insiden itu amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.
“Hal ini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi insiden ini melibatkan sebuah syarikat akhbar yang sepatutnya lebih peka dalam banyak hal. Ini kesilapan serius,” ujar Nia ketika dihubungi Sabah Media.
Menurut Nia, sepanjang berada di perantauan, rakyat Malaysia di sekitarnya sentiasa berhati-hati dalam setiap aktiviti yang melibatkan simbol dan identiti negara.
“Sebab bagi kami hal-hal yang berkaitan dengan identiti negara perlu diberi perhatian supaya tidak mengundang kecaman ataupun menjatuhkan nama baik negara Malaysia.
“Kami akan saling semak dan bertanya pendapat sebelum buat apa-apa. Kami sedar, satu kesilapan kecil walaupun berpunca daripada terlepas pandang atau masalah teknikal boleh mencetuskan salah faham besar. Bagi saya, ini adalah cerminan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya penuh semangat.
Bekas Ketua Pengarang sebuah akhbar tempatan di Sabah, Mohd Amin Muin, menyeru agar insiden ini ditangani dengan tegas dan penuh tanggungjawab.

“Memandangkan isu ini masih dalam siasatan, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada kecuaian itu disengajakan atau tidak. Namun, pihak akhbar wajar tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap organisasi media, cetak atau elektronik, perlu lebih peka terhadap elemen nasional serta menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum.
“Sebagai manusia, ada kalanya kesilapan dan kecuaian berlaku tanpa disedari. Tapi ini bukan kesilapan biasa yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Ini menyentuh soal simbol negara.
“Ia perlu dipandang serius, dan dijadikan pengajaran bukan saja kepada organisasi media tetapi kepada setiap individu yang bergelar rakyat Malaysia.
“Sebagai rakyat Malaysia kita harus peka dengan perkara sensitif seperti ini dan menanamkan semangat cintakan negara,” katanya.
Pada 15 April 2025, Syarikat akhbar berkenaan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Dalam suatu kenyataan rasmi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius dan amat kesal dengan perkara itu dan telah memanggil pihak Syarikat akhbar berkenaan bagi tujuan siasatan.
KDN menegaskan bahawa perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit adalah satu pelanggaran serius kepada Akta Lambang dan Nama serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
“Jalur Gemilang bukan sekadar simbol; ia adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak.
“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa,” menurut kenyataan itu.
Akhbar berkenaan telah tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.