Oleh FLORIETA DIET
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan bersama dadah jenis methamphetamine bernilai lebih RM5,500, dalam satu operasi di sini pada 17 April lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan
Sammy Newton berkata, serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang jam 8 malam di hadapan sebuah rumah tanpa nombor, menemui lima paket plastik berisi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 54.23 gram.
“Ujian air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup beserta sebatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama dan kini ditahan reman.
Sammy menyeru orang ramai untuk menjauhi dadah dan terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras gejala ini.