Oleh FLORIETA DIET
KENINGAU: Sepasang suami isteri cedera melecur dan rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Tudan Baru, Keningau pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Pemyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus@Mohd Nidzam Sainkui, berkata, dua mangsa yang merupakan penghuni rumah pertama daripada dua buah rumah yang musnah dalam kebakaran itu.
“Suami berusia 43 tahun dan isterinya berusia 42 tahun masing-masing melecur tangan kiri dan bahagian dahi. Mereka telah diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Severinus, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan diterima pada jam 7.24 malam.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bersama 12 anggota tiba di lokasi pada jam 7.37 malam dan mendapati dua buah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 30×40 kaki sedang terbakar.
Katanya lagi, api berjaya dikawal pada jam 8.05 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.42 malam setelah api dipadam sepenuhnya dan tiada lagi ancaman bahaya dikesan.
Turut membantu dalam operasi ialah anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity dan RELA.