Oleh YUSOF MOHAMAD
KLANG: Jika tahun lalu sambutan Aidilfitri diraikan bersama Pesta Kaamatan, kali ini kemeriahan Hari Raya tetap dirasai apabila lebih 120 ahli dan tetamu menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Momogun Sabahan di Kelab Pelayaran Diraja Selangor (RSYC), malam tadi.
Majlis yang berlangsung dalam suasana mesra itu turut dihadiri wakil Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat dari pelbagai lapisan masyarakat.
Presiden persatuan itu, Edward Sindam berkata, sambutan tahun ini memberi fokus khusus kepada Aidilfitri memandangkan tarikh perayaannya lebih awal, namun tetap berjaya menyatukan komuniti yang hadir.
“Program bersempena meraikan Aidilftri ini jelas mengukuhkan lagi jalinan keharmonian kaum menerusi konsep perpaduan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis itu.
Beliau turut menyatakan hasrat agar lebih banyak NGO turut bekerjasama menganjurkan program seumpama itu secara berkala, memandangkan ia terbukti dapat memperkukuh keharmonian kaum.
“Kita juga amat mengalukan kerjasama dan penglibatan semua NGO bagi menganjurkan program seumpama ini yang diadakan hampir setiap tahun.
“Persatuan Momogun Sabahan kini mempunyai lebih 3,000 ahli yang bernaung di bawah cawangannya di Selangor dan Johor,” tambahnya.
Sementara itu, seorang ahli persatuan, Rosiani Paulus, 43, yang menetap di Singapura, sanggup pulang demi memeriahkan majlis tersebut.
“Saya sangat seronok dapat bertemu semula rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Program sebegini wajar diteruskan kerana ia menyatukan ahli dan komuniti perantauan,” katanya yang berasal dari daerah Tambunan, Sabah.