Oleh FLORIETA DIET
TAMPARULI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang menghidap autisme dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Bahagia II, Tamparuli, pada petang Ahad.
Ibu kepada kanak-kanak tersebut merayu kepada orang ramai melalui satu hantaran di Facebook agar menghubunginya di talian 016-5874384 sekiranya terjumpa anaknya, Muhammad Aniq Faiz bin Muhammad Ashraf.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Mohamad Nor Amit, berkata bahawa Pusat Gerakan Operasi Bomba Tuaran menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tamparuli pada jam 1.52 petang Ahad berhubung kehilangan kanak-kanak itu.

“Pasukan BBP tiba di lokasi pada jam 2.13 petang bersama kekuatan sepuluh anggota serta dua anggota Unit K9. Turut serta dalam operasi ialah empat anggota PDRM dan lapan anggota dari Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“SAR telah diteruskan pada jam 8.50 malam dengan bantuan tiga lagi BBP dari Kota Kinabalu, Lintas dan Putatan,” katanya.
Tambahnya lagi, operasi pencarian dijalankan dalam radius 300 meter dan dibahagikan kepada dua sektor dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Pencarian turut dibantu oleh anjing pengesan daripada Unit K9. Bagaimanapun, sehingga jam 5.30 pagi tadi, mangsa masih belum ditemui. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.