Oleh FLORIETA DIET
BEAUFORT: Seorang remaja lelaki, orang kelainan upaya (OKU) berumur 16 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta sebelum terbakar di Jalan Nukuhan, Beaufort, malam Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu PPgB Zulhalim Abidin berkata, remaja lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu kereta jenis Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Zulhalim, Pusat Gerakan Operasi Kuala Penyu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 malam. Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.44 malam.
“Pasukan tiba di lokasi kejadian mendapati, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa terbakar. Operasi di lokasi disahkan terkawal pada jam 8.17 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.32 malam setelah tiada lagi ancaman bahaya dikesan,” katanya.
Turut hadir di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta petugas perubatan dari KKM.