HomeUtama21 buah rumah musnah terbakar, dua cedera melecur

21 buah rumah musnah terbakar, dua cedera melecur

Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh FLORIETA DIET

SANDAKAN: Sebanyak 21 buah rumah tidak kekal dan sebuah stor penyimpanan barang kampung musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran di Kampung Batu Putih, di sini pagi tadi (23 April).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata turut dilaporkan terdapat dua mangsa mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan dan telah menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital.

Jimmy menjelaskan bahawa Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10:40 pagi. Pasukan Bomba Sandakan yang terdiri daripada 25 anggota tiba di lokasi sejauh 16 kilometer pada jam 10:58 pagi.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11:47 pagi. Kebakaran yang melibatkan anggaran keluasan tiga ekar itu memusnahkan hampir keseluruhan kawasan terbabit,” katanya.

Tambahnya, agensi lain yang turut serta dalam operasi ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pasukan menggunakan sumber air dari jentera bomba dan sumber air terbuka bagi memadam kebakaran.

Katanya lagi, punca kebakaran masih dalam siasatan, dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, kenyataan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan mengesahkan bahawa semua mangsa telah dipindahkan di Dewan Serbaguna Kampung Batu Putih, Batu 7, sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut kenyataan tersebut, jumlah keseluruhan mangsa masih belum dikenal pasti kerana proses pendaftaran dan pengambilan data sedang dijalankan oleh APM Sandakan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Antara agensi lain yang terlibat dalam pengurusan insiden ini termasuk PDRM, JKM, dan RELA.

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Makluman laluan larian dan penutupan jalan bagi acara Borneo International Marathon...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular