Oleh FLORIETA DIET
KUNDASANG: Acara Highland Safari 2025 berjaya menarik penyertaan lebih 220 peserta yang terdiri daripada 160 buah kenderaan pacuan empat roda dan 60 buah motosikal lasak.
Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 April lalu itu membawa peserta melalui laluan mencabar merentasi Pekan Kundasang, Bambangan, Lipasu, Mamut dan berakhir di Sinar, Kundasang.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, yang merasmikan acara berkenaan malam tadi (22 April) di Pentas Terbuka Kundasang, menyifatkan penyertaan itu sebagai bukti minat mendalam masyarakat terhadap aktiviti lasak.
Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, program seumpama ini mampu memperkukuh lagi sektor pelancongan tempatan, khususnya di kawasan Kundasang dan Ranau.
“Penganjuran ini bukan sahaja menjadi platform pertandingan, malah turut mempromosikan kawasan pelancongan di Kundasang yang sedia terkenal dengan pelbagai acara seperti Pesta Kobis dan acara larian,” katanya.
Beliau berkata cuaca sejuk di Kundasang yang boleh mencecah sembilan darjah celsius menjadikan kawasan ini unik dan terus mendapat tempat dalam kalangan peminat aktiviti pelancongan ekstrem.
Dalam pada itu, Dr. Joachim turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang pertandingan dan turut memuji Jawatankuasa Penganjur yang diketuai Samsul Sinun serta sokongan pelbagai agensi termasuk Taman-Taman Sabah, Polis Diraja Malaysia, Rela, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Pegawai Daerah Tongod, Yuesri Ismail Yusof, anak kelahiran Kundasang, serta presiden-presiden persatuan pacuan empat roda dari seluruh Sabah.