Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang lelaki penganggur dijatuhi hukuman penjara 24 bulan selepas mengaku bersalah memukul ibu kandungnya yang berusia 81 tahun, hanya kerana wanita itu berhenti mengurut badannya akibat keletihan.
Azmi @ Andrew Ghani, 46, mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibunya pada 17 April, antara jam 2 petang hingga 3 petang, di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Tunoh, Penampang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum, iaitu dua tahun, atau dengan denda yang boleh sampai RM4, 000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Marilyn Kelvin yang mendengar kes tersebut dimaklumkan bahawa kejadian bermula apabila mangsa yang baru pulang daripada menerima rawatan di Klinik Kesihatan Penampang, disuruh oleh tertuduh untuk mengurut badannya.
Mangsa yang dalam keadaan uzur tetap menuruti permintaan anaknya. Namun, setelah mengalami lenguh dan sakit di tangan, mangsa berhenti untuk mengambil air minuman.
Tindakan itu menyebabkan tertuduh berang, dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
Tertuduh kemudian bertindak memukul bahagian muka mangsa menggunakan tangan sehingga mangsa terjatuh dan terbaring di lantai. Masih tidak berpuas hati, tertuduh terus menendang dan memijak perut serta badan mangsa, menyebabkan mangsa mengalami kesakitan di seluruh tubuh.
Keesokan paginya (18 April), mangsa sendiri telah menghubungi pihak ambulans Hospital Queen Elizebeth Kota Kinabalu untuk datang dan membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Aduan polis dibuat oleh seorang kakitangan hospital selepas pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian muka dan badan akibat dipukul oleh anak kandungnya sendiri.
Semaya rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan.
Namun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Yusdi Basri, memohon agar hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran memandangkan tertuduh mencederakan ibu kandungnya yang sudah lanjut usia.
Yusdi turut memaklumkan bahawa tertuduh mempunyai rekod lampau bagi kesalahan sama pada tahun 2020.