HomeUtamaCubaan seludup ‘menu eksotik’ ke negara jiran gagal - Maritim Kudat

Cubaan seludup ‘menu eksotik’ ke negara jiran gagal – Maritim Kudat

Read Time:1 Minute, 22 Second

KUDAT: Cubaan licik sindiket menyeludup keluar makanan eksotik melibatkan spesies haiwan terancam berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat dalam satu operasi khas di perairan daerah ini, awal pagi semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar, kejayaan itu adalah hasil risikan Unit Perisikan Maritim Malaysia yang mengesan pergerakan mencurigakan di kawasan Selat Malawali sekitar jam 2 pagi.

“Bertindak atas maklumat tersebut, Bot Peronda KILAT 48 yang sedang melaksanakan rondaan khas digerakkan ke lokasi sebelum mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap pada jarak kira-kira 1.8 batu nautika barat laut Tanjung Layang-layang, Pitas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati tiada individu berada di atas bot terbabit, namun hasil penggeledahan mengejutkan apabila pasukan operasi menemui muatan yang disyaki cuba diseludup ke luar negara.

Antara rampasan ialah 20 kotak polisterin berisi Kima beku seberat 500 kilogram, lapan guni Kima kering lebih 200 kilogram, serta lima kotak polisterin mengandungi Tenggiling beku dengan anggaran berat 100 kilogram.

“Kesemua hasil rampasan ini dipercayai untuk pasaran negara jiran yang diketahui mempunyai permintaan tinggi terhadap makanan eksotik dan produk haiwan liar terlarang,” jelas Hasbullah lagi.

Bot bersama muatan yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000 itu telah ditahan dan dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Perikanan 1985 kerana melibatkan cubaan penyeludupan spesies haiwan dilindungi serta pengendalian hasil laut tanpa kebenaran sah.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru orang ramai khususnya komuniti maritim agar bekerjasama menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah maritim menerusi Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

RELATED ARTICLES
Utama

GRS sepakat mantapkan kerjasama menjelang PRN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular