Oleh FLORIETA DIET
SEPANGGAR: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori enam tan dan sebuah motosikal jenis Honda Vario di lampu isyarat Indah Permai, petang tadi (23 April).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu, melaporkan bahawa dua mangsa yang maut iaitu pemandu dan penumpang lori tersepit dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas Rescue Tool (RTA).
“Kedua-dua mangsa masing-masing berumur 34 dan 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu penunggang motosikal telah dihantar ke hospital oleh pihak KKM untuk rawatan lanjut. Identiti penunggang motosikal masih belum diperolehi setakat laporan ini dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ordine berkata Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4:07 petang sebelum lapan anggota dari BBP Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi sejauh 17 kilometer. Pasukan tiba pada jam 4:23 petang.
Tambahnya lagi , agensi lain yang terlibat dalam operasi adalah Polis Diraja Malaysia. Setelah memastikan tiada lagi ancaman bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5:50 petang.