Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda sebanyak RM33,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini atas enam pertuduhan bersubahat dan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.
Ady Said, 40, mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan alternatif yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga.
Bagi pertuduhan pertama hingga kelima, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan.
Bagi pertuduhan keenam, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Pertuduhan pertama menyatakan bahawa Ady, sebagai Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Cawangan Sandakan, telah bersubahat dengan Rozidah menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu Bil Tuntutan Syarikat Pengangkutan bertarikh 8 Mei 2017 bernilai RM17,100 berhubung penghantaran kenderaan dan barangan rumah di Taman Indah Jaya, Sandakan.
Pertuduhan kedua menyatakan bahawa Ady telah bersubahat dengan Myron menggunakan dokumen palsu, iaitu resit Syarikat Pengangkutan Putra bertarikh 5 Mac 2020 yang bernilai RM6,250, berhubung penghantaran barangan rumah dan motosikal ke Perumahan Kerajaan Tawau.
Dalam pertuduhan ketiga, Ady sekali lagi bersubahat dengan Rozidah menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu Bil Tuntutan Syarikat Pengangkutan Putra bertarikh 13 Jun 2019 bernilai RM17,000, berhubung penghantaran kenderaan dan barangan rumah ke Taman Lokawi Perdana, Taman Pantai Lokawi.
Pertuduhan keempat menyatakan bahawa Ady telah bersubahat dengan Alif menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu Bil Syarikat Pengangkutan Putra bertarikh 12 Jun 2019 bernilai RM8,480, berhubung penghantaran barangan rumah ke Taman Permata Apartment, Sandakan.
Pertuduhan kelima pula menyatakan bahawa Ady bersubahat dengan Mohd. Efendi menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu bil Syarikat Pengangkutan Putra bertarikh 7 Mac 2020 bernilai RM6,250, berhubung penghantaran barangan rumah di Taman Desa Ranggu, Tawau.
Tertuduh melakukan kesalahan itu antara 2 Oktober 2017 dan 8 September 2020, di Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Negeri Sabah, dalam daerah Kota Kinabalu.
Kesemua lima pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan keenam, Ady telah menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu Bil Syarikat Pengangkutan Putra bertarikh 13 Mac 2020 bernilai RM6,450, berhubung penghantaran barangan rumah ke Kampung Gum-Gum Batu 16, Sandakan pada 8 September 2020, di Lokasi yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Shahlan Jufri memohon agar hanya hukuman denda dikenakan dan tiada hukuman penjara, dengan alasan tertuduh mempunyai keluarga yang perlu ditanggung.
Shahlan berkata tertuduh, yang merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga, telah digantung kerja ekoran kes tersebut dan kini bekerja antara lainnya sebagai pereka grafik bebas untuk menyara keluarganya.
Pegawai Pendakwa, Rekhraj Singh, memohon agar hukuman denda yang setimpal dikenakan berdasarkan kekerapan kesalahan yang dilakukan dari tahun 2017 hingga 2020.
Dimaklumkan tertuduh telah membayar denda.