HomeUtamaKKM diminta naik taraf klinik kesihatan di kawasan bandar - James Ratib

KKM diminta naik taraf klinik kesihatan di kawasan bandar – James Ratib

Read Time:1 Minute, 37 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk memberi perhatian termasuk menaiktaraf klinik-klinik kesihatan di kawasan bandar di negeri ini dan tidak hanya menumpukan kepada kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, pihaknya turut mengakui terdapat prasarana klinik kesihatan Kerajaan di kawasan bandar  turut berhadapan dengan pelbagai masalah.

“Apabila saya diamanahkan tugas sebagai Exco Kesihatan di negeri ini, perkata pertama yang saya bangkitkan dalam mesyuarat di Putrajaya adalah masalah-masalah kedaifan klinik kerajaan di luar bandar dan bandar.  Ini perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Kini kita dapat lihat banyak klinik-klinik luar bandar sudah dinaik taraf dari yang bangunan dibuat daripada kayu kepada konkrit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR):di sini, semalam.

James yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata, pihaknya turut bimbang dengan kekurangan doktor-doktor pakar di hospital kerajaan di negeri ini.

Katanya, bukan doktor sahaja mengalami kekurangan tetapi kemudahan atau fasiliti dalam hospital dan klinik kerajaan turut berhadapan dengan cabaran.

“Kerajaan hari ini telah menaik taraf semua klinik-klinik dengan memasang bekalan elektrik, air dan tenaga solar. Inilah pencapaian kita dibawah kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Dakwaan mengatakan menteri kita tidak bekerja adalah tidak benar, kita sebagai menteri di Sabah sentiasa bekerja keras untuk rakyat,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Api-Api, Yee Tsai Yiew menyeru kerajaan Pusat untuk mengatasi kedaifan yang terdapat pada klinik kerajaan di bandaraya ini.

Katanya, pesakit yang hadir ke klinik kerajaan berhadapan dengan kesukaran dengan suasana keadaan klinik yang usang dan tidak diselenggara dengan baik.

Tambahnya, usaha menaik taraf klinik kerajaan sangat diperlukan bagi menampung peningkatan jumlah pesakit. 

Selain itu katanya, peralatan perubatan serta fasiliti yang lain juga perlu dinaik taraf selain ruangan menunggu dalam klinik kerajaan juga sesak dan sempit dan memaksa ramai pesakit menunggu di luar klinik bagi mendapatkan rawatan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Setiap langkah bersama Navdeep – Simran Jaryal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular