Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri yang menyalurkan bantuan kewangan kepada lebih 100 buah sekolah di Sabah yang terjejas banjir baru-baru ini.
Pengerusi PIBKS Sabah, Datuk Mohd Arif Sakaran berkata, bantuan yang disalurkan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) itu mampu membantu sekolah membaik pulih kemudahan yang musnah dalam kejadian banjir.
“Beberapa bulan lalu, banyak sekolah di daerah-daerah di negeri ini terjejas dengan banjir. Saya difahamkan Kerajaan negeri telah membantu setiap sekolah sebanyak RM5,000 kepada sekolah terlibat.
“Justeru itu, bagi pihak PIBKS Sabah, kita menyambut baik inisiatif Kerajaan negeri ini yang menunjukkan keprihatinan Kerajaan terutama dalam pembangunan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini pada Ahad.
Baru-baru ini, Kerajaan negeri melalui TPNS telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM515,000 kepada 103 buah sekolah yang terjejas banjir di negeri ini.
Bantuan itu telah disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan TPNS di Menara Kinabalu di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohd Arif turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah yang telah memperkenalkan dan menyalurkan bantuan pendidikan kepada anak negeri ini secara keseluruhan.
“Ini termasuklah Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) yang memberi sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini sebanyak RM2,000.
“Bantuan itu bolehlah meringankan beban PIBG selain merancang sesuatu untuk menganjurkan mana-mana program atau mengadakan seminar-seminar kepada pelajar-pelajar,” katanya. – SABAH MEDIA