KOTA KINABALU: Parti Warisan disifatkan sebagai bersifat narsistik apabila mendakwa era pentadbiran mereka lebih baik berbanding kerajaan sekarang, walaupun hakikat sebenar mereka gagal dalam memulihkan ekonomi negeri.
Mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Aksyah Nasrah berkata, kenyataan Presiden Warisan itu bukan sahaja tidak berasas, malah bercanggah dengan fakta dan realiti semasa.
“Gejala narsistik ini merujuk kepada sikap meletakkan diri sebagai paling penting dan memerlukan pujian berlebihan tanpa berpijak pada hakikat sebenar. Warisan mendakwa era mereka lebih baik, namun angka-angka ekonomi membuktikan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Aksyah, ketika Warisan mentadbir Sabah, ekonomi negeri merosot selama tiga tahun berturut-turut dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat -1.5 peratus pada 2018, -0.7 peratus (2019) dan jatuh teruk kepada -7.5 peratus pada 2020.
Sebaliknya, beliau berkata prestasi ekonomi Sabah kembali pulih selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran, apabila KDNK mencatatkan pertumbuhan 1.5 peratus pada 2021, 3.5 peratus (2022), 4.0 peratus (2023) dan 4.5 peratus tahun lalu.
“Pendapatan negeri juga meningkat daripada RM5.4 bilion pada 2021 kepada RM6.96 bilion pada 2024. Ini menunjukkan pentadbiran GRS berjaya mengemudi ekonomi negeri ke arah yang lebih stabil dan mampan, meskipun berdepan krisis kesihatan pada awal pentadbiran,” katanya.
Tambah beliau, pentadbiran Warisan turut gagal menangani isu-isu utama yang menjadi keluhan rakyat ketika itu, termasuk kebakaran berulang di kawasan setinggan, pembatalan projek strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo, pelantikan penjawat awam berasaskan kawasan tertentu serta dakwaan menyokong permohonan kewarganegaraan oleh warga asing.
Tindakan penyokong Warisan di media sosial yang didakwanya sering memutarbelit fakta demi memburukkan imej kerajaan GRS, Aksyah menegaskan kerajaan GRS banyak inisiatif pembangunan sedang giat dilaksanakan dalam bidang infrastruktur, pendidikan dan ekonomi.
“Rakyat perlu mengambil iktibar daripada kepincangan lalu agar tidak kembali kepada pentadbiran yang lemah dan tidak stabil. Kekalkanlah GRS demi kesinambungan pembangunan melalui Halatuju Sabah Maju Jaya,” katanya.