Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah meningkatkan sumber manusia dalam menghadapi penghujung musim Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.
Pengarah JBPM Sabah yang baharu, Mohd Pisar Aziz berkata pelbagai langkah diatur gerak termasuk meningkatkan penglibatan aktif pasukan bomba bantuan yang kini berjumlah 350 anggota.
“Seramai 101 anggota bomba bantuan yang baharu saja menamatkan latihan, dan kita yakin penambahan ini akan dapat meringankan beban anggota tetap serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kebombaan, khususnya di kawasan pinggiran dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Katanya, kunjungan tersebut bertujuan untuk menjelaskan status operasi dalam menghadapi banjir di samping
memaklumkan pelantikan beliau sebagai sebagai Pengarah JBPM yang baharu berkuat kuasa mulai 7 April lalu.
“Selain memaklumkan pelantikan saya sebagai pengarah yang baharu, saya turut berkongsi status operasi jabatan termasuk persiapan menghadapi penghujung musim Monsun Timur Laut (MTL) serta insiden banjir yang kini berlaku di beberapa daerah seperti Beaufort dan Sook,” katanya.
Sebelum bertugas di Sabah, Mohd Pisar merupakan Pengarah JBPM Negeri Melaka dan memiliki pengalaman luas dalam bidang penyiasatan serta keselamatan kebakaran.