HomeUtamaDBKK perkukuh peranan komuniti menerusi 'Smart City Friends'

DBKK perkukuh peranan komuniti menerusi ‘Smart City Friends’

Read Time:1 Minute, 37 Second

Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memperkukuh peranan komuniti dalam pembangunan bandar menerusi pelaksanaan program Rakan Pintar Bandaraya atau ‘Smart City Friends’.

Program yang dijenamakan semula dari Rakan Bandaraya itu diperkenalkan sejak 2002 turut membuka ruang kepada seluruh masyarakat terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti penjaja, rukun tetangga, warga emas, belia, dan individu awam

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pihaknya amat memerlukan keahlian yang ramai berikutan kawasan liputan DBKK luas selain bilangan kakitangan terhad.

“Pada hari ini kita mengadakan program penyerahan sijil kepada wakil-wakil institusi sebagai ahli baharu program Smart City Friends, sebuah inisiatif yang bertujuan memperluas rangkaian komuniti pintar di bandar ini.

“Kita memilih untuk menyerahkan sijil secara berkumpulan kepada wakil-wakil organisasi dengan harapan mereka akan menyebarluaskan maklumat dan manfaat program ini kepada kakitangan, pelajar dan ahli-ahli pertubuhan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan penjenamaan semula Program Smart City Friends di sini pada Selasa.

Sabin berkata, menerusi keahlian Smart City Friends, orang ramai dapat membantu DBKK menyampaikan maklumat penting berkenaan kerosakan infrastruktur atau isu perbandaran lain secara terus kepada pihak berkuasa.

“Sebagai contoh, jika berlaku kerosakan di kawasan Telipok, ahli di kawasan tersebut boleh membuat laporan segera melalui platform khas yang disediakan.

“Berbeza dengan versi terdahulu, platform baharu ini lebih mesra pengguna, interaktif, dan menawarkan pelbagai manfaat kepada ahli berdasarkan sumbangan mereka kepada DBKK.

“Antara manfaat yang dipertimbangkan termasuk pemberian diskaun untuk caj parkir, sewaan dewan, dan pelbagai insentif lain. Ahli juga berpeluang mengumpul mata ganjaran melalui maklum balas atau laporan yang diberikan kepada DBKK,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin berkata, akses kepada platform ini disediakan melalui kod QR yang akan diimbas oleh para ahli, sekaligus memudahkan penyertaan dan penggunaan oleh masyarakat umum.

Justeru beliau menyeru agar lebih ramai penduduk Kota Kinabalu untuk mendaftar sebagai ahli Smart City Friends dan menjadi sebahagian daripada usaha membina bandar yang lebih pintar, responsif dan berdaya tahan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular