Kota Kinabalu: Penganjuran program berkaitan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah khususnya di negeri ini perlu terus ditingkatkan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keperluan darah harian di Sabah adalah sebanyak 300 unit, dan setiap tahun, negeri ini memerlukan kira-kira 110,000 hingga 120,000 unit darah untuk memenuhi keperluan pesakit.
“Namun, sehingga kini, hanya 75,000 unit berjaya dikumpulkan setiap tahun,” katanya semasa sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri 2025 dan program derma darah yang diadakan di lobi utama Hospital Queen Elizabeth II, di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hajiji berkata, kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan sektor awam mampu meningkatkan kesedaran tentang pendermaan darah dan menarik lebih ramai orang awam untuk menjadi penderma tetap.

“Sesungguhnya, menderma darah secara sukarela membantu menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, memandangkan kualiti sistem penjagaan kesihatan sangat bergantung kepada kualiti tenaga kerja kejururawatan, pelaburan dalam latihan, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat adalah penting bagi menjamin kelestarian sistem kesihatan negara.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan menyokong para jururawat yang berkhidmat di Sabah yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan rakyat. Saya berharap semua jururawat akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya di negeri ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jururawat yang disifatkan sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara.
“Sambutan Hari Jururawat bukan sekadar acara simbolik tetapi satu pengiktirafan besar terhadap golongan yang menjadi tunjang kepada sistem penjagaan kesihatan negara iaitu jururawat kita.
“Selaras dengan tema tahun ini, ‘Jururawat Kita Masa Depan Kita: Prihatin Terhadap Jururawat Mengukuhkan Ekonomi’, peranan jururawat bukan sekadar sebagai ‘penjaga pesakit’ di hospital, malah mereka adalah pemangkin kesejahteraan komuniti, pendidik kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam menangani krisis kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengimbas kembali peranan luar biasa jururawat semasa pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu, bukan sahaja dari aspek rawatan dan pemantauan, malah turut memberi sokongan emosi dan moral kepada pesakit dan ahli keluarga mereka.
“Ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga, pasangan dan anak-anak demi menjalankan tanggungjawab ketika itu.
“Sesungguhnya, mereka adalah wira yang tidak didendangkan, yang tetap tabah dan cekal bekerja dalam pelbagai keadaan mencabar, sama ada di wad, unit kecemasan, klinik kesihatan luar bandar mahupun di kawasan bencana,” katanya. – SABAH MEDIA