GOMBAK: Sejumlah RM470 juta diperuntukkan kerajaan Sabah dalam usaha mengangkat dan memperkasa modal insan di negeri itu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peruntukan ini tidak tertumpu kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat di Sabah sahaja tetapi anak-anak Sabah yang berada di luar.
Malah menurutnya, usaha memperkasa modal insan ini adalah selari kerangka pelan hala tuju Sabah Maju Jaya.
“Yang menariknya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melihat masa depan modal insan itu sebagai salah satu teras utama pelan pembangunan smj ini.
“Malah banyak inisitif yang beri manfaat dan faedah kepada anak muda khususnya pelajar bagi menyediakan mereka satu platform atau suasana yang boleh menumpukan kepada pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Sukan Anak Sabah 2.0 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak pada Ahad.
Sementara itu, dalam ucapannya, Nizam berkata, Program Sukan Anak-anak Sabah memberi peluang kepada anak-anak negeri untuk menunjukkan bakat dan kebolehan mereka dalam pelbagai bidang sukan, tetapi juga telah menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan, perpaduan, dan silaturahim di kalangan peserta.
Katanya, ini adalah nilai-nilai murni yang perlu disemai dan dikekalkan dalam masyarakat.
Seramai 68 peserta dari empat kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil bahagian dalam program tahunan Sukan Anak-Anak Sabah 2025 yang melabuhkan tirainya semalam.
Turut hadir sama Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan, UIAM, Jamaluddin Said, Pengarah Program Muhammad Ikmal Iksani serta ahli jawatankuasa Hari Sukan Anak- anak Sabah.