KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah, yang meninggal dunia di Hospital KPJ di sini pada Selasa.
“Bagi pihak kerajaan Negeri, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah bin Abdullah yang meninggal dunia di Hospital KPJ pada Selasa.
“Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan setinggi-tinggi nya atas jasa bakti Tun kepada Negeri dan rakyat. Beliau di kenali sebagai pemimpin yang cukup baik dan amat disenangi oleh semua lapisan rakyat semasa hidup nya.
“Secara peribadi saya kehilangan seorang sahabat yang begitu tinggi budi bahasanya dan seorang yang prihatin kepada rakyat dan negernya. Semoga ALLAH swt mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham,” katanya dalam kenyataannya di sini pada Rabu.
Tun Ahmadshah dilahirkan pada 9 Disember 1946 dan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dari tahun 2003 hingga 2010.
Sebelum itu, Ahmadshah memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum bersara pada Disember 2002.
Allahyarham juga pernah memegang jawatan lain antaranya Pengarah Perjawatan Negeri Sabah, Ketua (Bahagian Hal Ehwal Dalaman dan Penyelidikan) Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Inanam, di sini pada 9 Disember 1946 meninggalkan empat anak manakala isterinya, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar meninggal dunia pada 2020.
Kerajaan negeri turut mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari dan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang selama tempoh berkenaan. – SABAH MEDIA