Membakut: Penduduk di daerah ini bakal memiliki sebuah dewan masyarakat baharu yang dijangka siap dalam tempoh lebih kurang setahun dengan nilai peruntukan sebanyak RM6 juta.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pembinaan projek dewan itu merupakan hasil kelulusan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiiji Noor pada dua tahun lalu.
“Hari ini kita mengadakan satu majlis pecah tanah bagi pembinaan Dewan Masyarakat Membakut yang baharu. Dewan baharu ini dijangka siap dalam tempoh lebih kurang setahun.

“Kapasiti dewan ini akan menampung lebih daripada 1,000 hingga 2,000 orang dalam satu-satu masa, sesuai untuk pelbagai aktiviti masyarakat seperti Pesta Kaamatan, sambutan Aidilfitri, majlis perkahwinan dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Dewan Masyarakat Daerah Membakut di sini pada Sabtu bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, antara kemudahan utama yang akan disediakan termasuk gelanggang badminton, manakala kemudahan lain seperti dewan makan akan dibina pada fasa seterusnya.
Katanya, pada masa ini, keutamaan diberikan bagi menyediakan prasarana asas yang selamat dan selesa kepada masyarakat selepas dewan lama dirobohkan atas faktor keselamatan.
“Alhamdulillah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri atas kelulusan ini. Ini adalah satu hadiah besar untuk rakyat Membakut,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Arifin berkata, permohonan telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembinaan sebuah Kompleks Sukan Membakut, yang bakal melengkapkan lagi kemudahan komuniti di kawasan ini.
Terdahulu, pada majlis itu, turut disampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan DUN Membakut seramai 44 orang.
Turut diserahkan secara simbolik adalah kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada 10 orang penerima.
Selain itu, turut disampaikan Bantuan Pendidikan Negeri Sabah (BPNS) merangkumi dua DUN iaitu Membakut Bongawan bernilai RM1 juta.
Bantuan itu termasuklah Bistari, Bisbah, Balkis, Bagus dan Sukses. – SABAH MEDIA