Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Pesona Unduk Ngadau Ranau 2025, Jenylin Janis, mencuri tumpuan ramai apabila tampil menggayakan ‘Lapoi Misaayud’, pakaian tradisional Dusun Tinagas berusia lebih 100 tahun.
Busana warisan ini dipercayai wujud sejak tahun 1900 dan masih kekal terpelihara hingga ke hari ini. Ia ditenun sepenuhnya dengan tangan, bermula daripada kapas ‘kintai’ yang dipintal menjadi benang sebelum dihasilkan menjadi kain ela.
“Lapoi Misaayud dipakai oleh ‘Nuwung’, yang bermaksud gadis atau Puteri Tinagas. Mereka tinggal di ruang khas yang dipanggil ‘Reliyan’ (loteng), dan merupakan gadis terpilih dalam kalangan masyarakat Tinagas. Seorang ‘Nuwung’ digambarkan sebagai bijak, cantik, sopan santun, serta mahir dalam melaksanakan upacara atau ritual adat,” kata Jenylin yang kelihatan anggun semasa sesi pendaftaran finalis Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Kebangsaan 2025 baru-baru ini.

Busana itu dilengkapkan dengan aksesori klasik seperti ‘Timbok’ (hiasan rambut), ‘Anting Nombilang’ (anting-anting), Ganggalung (Besi yang melingkar di leher), ‘Binolit’ (hiasan pinggang) dan ‘Lungkaki’ (gelang kaki).
Namun untuk pentas akhir pada 31 Mei di Hongkod Koisaan, Penampang, Jenylin bakal memperagakan pakaian adat khas dari etnik Dusun Bundu di Bundu Tuhan, Ranau iaitu ‘Busana Adat Abaaya Siting Kuun Ginontihan’ yang pertama kali dipertontonkan kepada umum.
“Saya juga akan memakai ‘Sunduk’ dan ‘Kaput Kitungkat’, dua pusaka keluarga berusia lebih 100 tahun yang telah dijaga rapi selama lima generasi.
“Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk mempersembahkan warisan keluarga ini di pentas kebangsaan. Pertandingan ini menjadi lebih istimewa dan mencerminkan identiti saya sebagai anak Dusun Bundu,” katanya penuh semangat.
Berkongsi secara ringkas mengenai pakaian tradisi yang bakal diperagakan di pentas akhir nanti, Jenylin berkata Baju Abaaya diperbuat daripada kain tradisional berkilat yang dikenali sebagai ‘siting’, yang melambangkan kemewahan dan status tinggi, serta lazim digunakan dalam acara kebudayaan dan upacara adat.
Skirt atau ‘Kuun Ginontihan’ ditenun sepenuhnya menggunakan teknik tradisional ‘nawol’, dengan hiasan jahitan ‘mato-mato’ dan motif ‘ninggol tinorindak’ yang menggunakan benang khas ‘ginontihan’ iaitu merah, putih dan hitam yang mewakili kekuatan, perlindungan dan keharmonian.
Bahagian bawah ‘kuun’ dihiasi tujuh susunan manik berwarna putih, merah, biru dan hitam yang mempunya simbolik makna tersendiri seperti keaslian dan kekuatan spiritual. Ia turut dilengkapi dengan giring (lonceng) sebagai simbol martabat dan lambang maruah.
Pakaian ini disempurnakan lagi dengan penggunaan 10 ‘rogingot’ (aksesori) seperti ‘Karoh taak dan liou’, ‘Saring’, ‘Kaput Kitungkat’, ‘Togkol’, ‘Botungkat’, ‘Tangkong’, ‘Rinagang Tinukad-Tukad’ dan ‘Lulungkaki’.
“Saya harap dengan mengenakan pakaian ini, generasi muda lebih menghargai dan bangga dengan warisan budaya kita,” ujar Jenylin yang merupakan Ahli Seumur Hidup Pertubuhan Seni Kesusasteraan Dusun Bundu Tuhan (ITISUNDU) dan giat memulihara dan membudayakan semula tradisi Lilihis, Tarian, Instrumen dan Adat Dusunik.
Jenylin turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha pasukan penyelidik Abaaya yang dipelopori oleh Adrian Soidi di bawah Pertubuhan ITISUNDU dan KDCA Bundu Tuhan, dalam melestarikan pakaian tradisional tersebut.

Sementara itu, Adrian berkata bahawa Abaaya Bundu Tuhan mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza dengan “Abaaya” dari tempat lain.
“Baju adat Abaaya hanya dihasilkan sepenuhnya oleh kumpulan penjaga yang dikenali sebagai Mamasi Abaaya dan tidak dibuat secara komersial di luar Bundu Tuhan.
“Salah satu sebabnya ialah kami sangat menekankan tradisi ‘misuku’ dan ‘mokiira’ , yang bermaksud apa-apa yang mahu dibuat dan kami mahu tahu, perlu merujuk kepada orang yang lebih tua dan berpengetahuan,” katanya, sambil menzahirkan harapan agar identiti budaya setiap etnik kekal terpelihara dengan baik.
Konsep ‘back to basic’ mula diperkenalkan pada tahun 2015 oleh Jawatankuasa Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) peringkat Negeri, yang ketika itu diketuai oleh Datuk Joanna Kitingan.
Inisiatif ini memberi penekanan kepada kepentingan pemakaian pakaian tradisional yang autentik mengikut daerah masing-masing.