HomeUtamaKerajaan Negeri kekal komited perkasa ekonomi luar bandar

Kerajaan Negeri kekal komited perkasa ekonomi luar bandar

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Penampang : Kerajaan Negeri kekal komited memperkasa pembangunan sosio- ekonomi luar bandar melalui pelbagai pendekatan strategik, termasuk pemodenan pertanian, galakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembangunan pelancongan komuniti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha ini adalah antara teras penting dalam misi menjana kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan inklusif di bawah kerangka dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, rakyat luar bandar perlu terus diberi peluang ekonomi, sama ada melalui pertanian moden, pelancongan berasaskan komuniti atau latihan kemahiran.

“Ini bukan sahaja membolehkan mereka meningkatkan pendapatan tetapi juga membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2025 di Dewan Hongkod Koisaan di sini pada Jumaat.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji berkata, pengaktifan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah bertujuan menyokong keterjaminan makanan melalui peningkatan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras tempatan.

“Kita sasarkan 30 peratus tahap sara diri beras pada tahun depan dan 60 peratus menjelang 2030. Langkah ini penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkukuh bekalan makanan tempatan,” katanya.

katanya, agenda pembangunan itu akan lebih berkesan dengan sokongan dan kerjasama padu antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Saya amat yakin hubungan yang kukuh dan erat dengan Kerajaan Persekutuan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan dasar-dasar pembangunan negeri. Ia penting dalam memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat secara langsung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Anwar atas kehadiran beliau merasmikan sambutan Pesta Kaamatan, yang disifatkannya sebagai bukti komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah.

Katanya, Pesta Kaamatan tahun ini yang membawa tema “Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan” , menandakan sambutan ke-65 sejak ia diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1960.

Hajiji menyifatkan Kaamatan bukan sekadar sambutan budaya, tetapi satu simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah yang perlu dipertahankan.

“Kaamatan bukan milik satu kaum semata-mata, tetapi milik semua rakyat Sabah. Ia mencerminkan semangat muhibbah dan keharmonian yang menjadi asas kestabilan negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular