Oleh Sitti Nor Azizah Talata
KALABAKAN: Seorang lelaki berusia sekitar 39 tahun ditahan polis selepas didapati memiliki selaras senapang angin buatan sendiri dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan FELDA Tengah 2, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan yang diketuai Ketua Polis Balai, hasil maklumat awam mengenai kehadiran seorang individu mencurigakan di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang barang salah pada tubuh suspek.
“Namun, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut ACP Jasmin, hasil soal siasat lanjut membawa polis ke sebuah rumah, di mana selaras senapang angin buatan sendiri ditemui tersimpan.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata tanpa lesen sah, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Penahanan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan PDRM dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan Kalabakan dan sekitarnya.