HomeUtamaHormati proses undang-undang, PRN akan diadakan tidak lama lagi - Hajiji

Hormati proses undang-undang, PRN akan diadakan tidak lama lagi – Hajiji

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh Normimie Diun

PUTATAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan negeri komited untuk menghormati proses undang-undang susulan maklumat berkaitan pendakwaan terhadap dua individu yang dikaitkan dengan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada jabatan yang berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan integriti dalam kalangan anggota pentadbiran serta penjawat awam terus dipelihara.

“Ya, saya ambil maklum perkara itu. Kita mesti menghormati proses undang-undang dan biarkan jabatan yang berwajib menjalankan tugas mereka. Kerajaan negeri komited memastikan undang-undang dihormati dan integriti terus diwujudkan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kepada mangsa-mangsa terjejas bencana kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Sri Putatan di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada perkara itu akan memberi kesan kepada pentadbirannya, Hajiji menafikan ia akan menjejaskan kestabilan kerajaan.

“Saya rasa tidak memberi kesan. Saya difahamkan akan ada pendakwaan terhadap dua orang, tetapi saya tidak tahu siapa. Apa pun, kita perlu memastikan proses undang-undang berjalan dengan baik dan biar mahkamah yang menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak. Mereka masih ada ruang untuk membersihkan nama masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri, Hajiji memberi bayangan bahawa pilihan raya negeri bakal diadakan dalam masa terdekat.

“Orang lain jangan fikir sangat. Sebagai Ketua Menteri, saya akan tentukan nanti. Tapi jelas, tidak lama lagi kita akan mengadakan pilihan raya. Sama ada cepat atau lambat, ia tetap akan diadakan,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersedia untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan hala tuju dan kepimpinan negeri seterusnya.

Perkembangan mengenai rundingan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH), Hajiji mengesahkan bahawa perbincangan awal sudah bermula.

“Perbincangan awal sudah ada. Jadi, kita akan tamatkan segala urusan dalam masa terdekat sebelum pembubaran,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pendirian Barisan Nasional (BN), Hajiji menyerahkan kepada parti itu untuk menentukan arah tuju mereka.

“Tanyalah BN, apa mereka mahu,” kata Hajiji ringkas.

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular