Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dari Sarawak yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar 2,129.1 gram syabu, terselamat daripada tali gantung.
Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, menggantikan hukuman itu kepada penjara 20 tahun dan 10 sebatan atas pertuduhan lebih ringan, iaitu memiliki dadah.
Tiga panel hakim iaitu Dato’ Azman Abdullah, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Noorin Badaruddin, sebulat suara membenarkan rayuan Anthony Chan Wei Onn terhadap sabitan dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.
Mahkamah antara lain memutuskan bahawa sabitan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 adalah tidak selamat.
“Namun, berdasarkan keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan, kami mendapati terdapat bukti mencukupi untuk menyokong sabitan di bawah Seksyen 39A(2) ADB. Oleh itu, sabitan di bawah Seksyen 39B(1)(a) diketepikan dan digantikan dengan Seksyen 39A(2),” kata panel hakim.
Anthony, 31, diarahkan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapannya, iaitu pada 12 Julai 2019.
Pada 23 Mei 2023, Mahkamah Tinggi di sini telah menjatuhkan hukuman mati terhadap Anthony selepas didapati bersalah mengedar dadah tersebut pada 12 Julai 2019, jam 6.20 petang di premis J&T Express, Jalan Lintas, di sini.
Pertuduhan ketika itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Manakala, pertuduhan lebih ringan mengikut Seksyen 39A(2) ADB pula membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara serta 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Anthony diwakili oleh peguam Hamid Ismail.